Friday, August 21, 2009

INTEGRASI NASIONAL - PART 1

Ucapan Tun Dato Seri Dr Lim Chong Eu di USM pada tahun 1995 mengenai cabaran bagi Malaysia yang berbilang kaum.

MEMATUHI, MENGHORMATI DAN MENGEKALKAN PERLEMBAGAAN

Apabila kita merangka dan mengisytiharkan Perlembagaan Persekutuan bertulis yang menyatukan masyarakat kita, kita telah pun meneliti hak-hak asasi setiap individu rakyat Malaysia. Pada masa yang sama juga kita mengiktiraf kepelbagaian kaum, bahasa dan agama asal masyarakat yang membentuk negara kita Malaysia.

Saya menggunakan istilah "asal" untuk merujuk pewarisan kaum, begitu juga dengan latar belakang kebudayaan orang kita. Contohnya, saya sering kali dirujuk sebagai orang Cina dari segi kaum ataupun berbangsa Cina. Semua ini merupakan rujukan yang betul. Tetapi bagi saya, panggilan ini merupakan pengelasan yang agak ketinggalan zaman atau anakronistik.

Apabila saya semakin tua, dan mudah-mudahan semakin bijak, saya sedar bahawa dalam hal pewarisan darah Cina ini, saya sendiri tidak begitu mengetahui tentang identiti kecinaan ini dibandingkan dengan orang lain yang hanya membaca dan belajar tentang orang Cina, yang sebenarnya terdiri daripada kumpulan kaum yang berbeza-beza.

Hakikatnya, nenek moyang saya berasal dari Hosan di Xiamen, dalam Wilayah Fuqian. Sejak persaraan saya daripada kegiatan politik yang aktif, saya telah berjaya mengesan salasilah keturunan Lim selama 3 juta tahun sehingga zaman Hebei. Daripada kajian ini, saya sedar bahawa saya sebenarnya merupakan sebahagian daripada bangsa Cina yang berselerak, yang dahulunya menetap di Singapura dan kemudiannya di Pulau Pinang. Dengan itu saya seorang rakyat Malaysia yang asal budayanya dikesan daripada mikrokosma penyelerakan bangsa Cina.

Kelahiran saya di Pulau Pinang, dan ibu bapa yang berbangsa Cina secara genetiknya, tidak bermaksud bahawa saya mempunyai pewarisan Cina yang lebih. Sebenarnya, latar belakang saya pada asasnya diperolehi daripada keturunan masyarakat campuran Pulau Pinang.

Semasa saya masih kecil, sistem kolonial British mahukan pemikiran intelektual saya berkembang secara mempelajari bahasa Inggeris. Namun begitu, ciri-ciri kebangsaan kedua-dua ibu bapa dan datuk nenek saya menunjukkan bahawa personaliti saya sendiri dipenuhi dengan ciri-ciri cara hidup orang Cina yang telah mereka tanamkan sejak saya masih kecil.

Daripada merekalah saya belajar menerima kenyataan adanya Tuhan. Ini bukanlah bermaksud mengetahui Tuhan tetapi hanya pengakuan asas dan penerimaan adanya Tuhan secara rendah hati. Saya diajar supaya bersikap jujur kerana sikap inilah yang digunakan oleh orang ramai untuk menilai seseorang dan ciri ini merupakan sifat asas saya. Sifat jujur ini telah ditanam dalam diri saya, iaitu saya tidak boleh melakukan sesuatu yang tidak baik terhadap orang lain sebagaimana saya tidak mahu orang lain melakukannya terhadap saya.

Pergaulan saya dengan kawan-kawan dan kehidupan akademik saya menunjukkan bahawa saya dapat berinteraksi dan berhubung baik dengan kawan-kawan semasa saya. Mereka bukan berasal daripada keluarga yang sama, bukan daripada persekitaran sosial yang sama dan juga bukan daripada latar belakang kebudayaan yang sama. Mereka juga bukan penganut agama yang sama dengan saya. Saya telah belajar tentang disiplin diri dalam usaha mendokong kebenaran dalam diri saya sendiri. Pada masa yang sama, di rumah, saya juga diajar untuk bertolak ansur dengan orang lain dan menghormati mereka.

Semasa zaman pramerdeka—kontroversi telah timbul hasil laporan McMichael. Mendiang Oliver Phipps, berbangsa Eurasia; Sonnipillai, berbangsa Sri Lanka/Burma, dan saya sendiri telah menubuhkan Parti Radikal, dengan alasan bahawa seseorang individu mengambil keputusan menjadi rakyat Malaya kerana pemikiran intelektual mereka menyebabkan mereka mengambil keputusan sedemikian. Oleh itu, kami betul-betul terikat dan orang lain juga turut menganggotai kumpulan kami dalam usaha mendapatkan kemerdekaan.

Sudah tentulah semasa bermulanya Merdeka, menjadi rakyat Malaysia merupakan usaha intelektual. Usaha ini disemarakkan lagi dengan semangat yang ditunjukkan oleh Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra. Perlembagaan negara menjadi kuasa penyatu asas yang menyatukan negeri-negeri yang berlainan dan rakyat yang terdiri daripada pelbagai bangsa.

Sejak Ogos 1957, peruntukan asas Perlembagaan Persekutuan kelihatan begitu stabil dengan sedikit sahaja pengubahsuaian dan hanya sedikit sahaja perubahan yang dibuat terhadapnya. Peruntukan Perlembagaan ini juga turut berjaya disesuaikan penggunaannya selaras dengan penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura dalam Malaya. Dan Perlembagaan ini masih juga dikekalkan walaupun Singapura tidak lagi menjadi sebahagian daripada Malaysia kemudiannya.

Yang perlu difahami ialah, bangsa Malaysia bukan hanya dibentuk daripada perkataan dan artikel yang tertulis dalam Perlembagaan. Bangsa Malaysia berkembang hasil kerelaan mereka untuk hidup, bekerja dan mati bersama sebagai rakyat Malaysia mengikut rangka Perlembagaan. Keputusan yang menunjukkan penerimaan Perlembagaan ini dimantapkan lagi dengan prosedur demokrasi berparlimen.

Dalam konteks kewujudan dan kehidupan bangsa Malaysia, Perlembagaan Persekutuan merupakan warisan murni orang Malaysia tanpa mengira warisan etnik seseorang individu dan latar belakang agama. Oleh itu setiap warga-negara mempunyai tugas asas untuk menghormati, mematuhi dan memelihara Perlembagaan Malaysia.

Baru-baru ini kita telah mengadakan Pilihan Raya Umum yang kesembilan. Hasil pilihan raya ini, setiap wakil dalam kerajaan, pada peringkat Persekutuan dan Negeri telah pun mengangkat sumpah untuk memelihara Perlembagaan. Semua perwakilan yang dipilih oeh rakyat juga turut bersumpah untuk bekerja dan berkhidmat kepada orang ramai di Parlimen dan juga pelbagai komponen Perundangan Negeri.

Maksud dan implikasi semua undang-undang yang termaktub dalam masyarakat Malaysia dan kuasa demokrasi Kerajaan, adalah berdasarkan sumber dan komitmen daripada wakil yang dilantik seperti sepatutnya untuk mempertahankan dan memelihara Perlembagaan. Perwakilan ini diundi oleh rakyat, ini bermaksud rakyat juga perlu menunjukkan komitmen yang sama. Saya menggesa sidang hadirin sekalian supaya memikirkan hakikat ini.

Orang ramai selalu mengandaikan bahawa Perlembagaan Persekutan dan pelbagai Perlembagaan Negeri difahami oleh semua rakyat negara ini. Sebenarnya, untuk memahami Perlembagaan ini, usaha yang serius diperlukan oleh setiap rakyat Malaysia supaya mereka benar-benar memahami dan membiasakan diri dengan dokumen kenegaraan yang penting ini dan proses perlembagaan dalam negara yang mengamal-kan Sistem Demokrasi Berparlimen.

Kita tidak perlu menumpahkan darah dalam usaha mendapatkan kemerdekaan. Walaupun begitu, saya masih dapat mengingati dengan jelas perbalahan dan perbahasan yang intelektual dan emosional. Perbahasan seperti ini terpaksa diatasi demi membolehkan kita mencapai Perpaduan Nasional bagi tujuan menerima Perlembagaan Persekutuan sebagai bukti asas kenegaraan kita.

Generasi Malaysia yang lebih muda perlu diajar secara khusus tentang pentingnya artikel dan peruntukan perlem-bagaan kita. Kita perlu melakukan perkara ini semua untuk meningkatkan lagi azam kita mengekalkan Perpaduan Nasional dalam kalangan rakyat Malaysia.

0 comments:

Headline News

Search

Google

The Star Headlines

  © Copyright 2009. Stephen Doss. Kuala Lumpur, Malaysia. All Rights Reserved.

Back to TOP